Tonggak tengah kebangsaan, Akram Mahinan, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan komited dalam memastikan kemenangan ke atas Bhutan dalam aksi persahabatan antarabangsa 'A' di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Akram bertekad meneruskan aksi meyakinkan ketika berdepan Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia yang berkesudahan tewas 2-1 di Beirut.

"Kami tidak mengharapkan gol yang banyak ketika berdepan Bhutan, sebaliknya kami mengutamakan permainan yang baik.

"Kami mahu menjaringkan gol untuk mendapatkan momentum kemenangan terlebih dahulu," kata Akram.

Akram turut mengakui tiada masalah buatnya memebentuk keserasian bersama Mahali Jasuli dan Nazmi Faiz Mansor di bahagian tengah skuad negara.

Tiga pemain itu memainkan watak penting dalam formasi 4-2-3-1 yang diterapkan Cheng Hoe berdepan Lubnan.

"Saya pernah beraksi dengan Mahali ketika bersama Harimau Muda lagi. Cuma kami saling bantu membantu agar dapat melancarkan pertahanan dan serangan," kata pemain Kedah itu lagi.