Jaringan minit akhir perlawanan oleh pemain import, Alain Akono, membantu Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor II dalam aksi Liga Perdana sebentar tadi.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Negeri Sembilan yang terpaksa bermain dengan 10 pemain pada baki enam minit terakhir perlawanan.

Negeri Sembilan mempamerkan permulaan yang cemerlang apabila berjaya mendahului perlawanan menerusi R. Barathkumar pada minit ke-31.

Selangor II bangkit dalam separuh masa kedua, Harith Haiqal meledak gol pada minit ke-71 sekaligus menghidupkan peluang tuan rumah meraih mata.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berputih mata apabila Negeri Sembilan memastikan rekod cemerlang diteruskan apabila Akono menyumbat jaringan kedua pasukan pada penghujung permainan sekaligus membawa pulang tiga mata penuh.



"Keputusan yang mengecewakan, kami tidak boleh mengatakan pasukan lawan beraksi lebih baik berbanding kami, mereka dibarisi pemain pengalaman dan ia adalah pemisah antara kedua-dua pasukan," kata jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner.

Bagi jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan pula, "Penyudah pasukan lebih baik selepas melakukan pertukaran, Selangor lebih melakukan serangan dalam separuh masa kedua dan kami hanya bertahan. Namun percubaan kami lebih tepat dan berjaya memenangi perlawanan ini."

Imej: FB Negeri Sembilan Football Club