Penyerang import Terengganu FC (TFC) II, Akanni Sunday Wasiu, melaungkan amaran untuk meledak 20 gol dalam Liga Perdana, bermula dengan aksi berdepan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam ini.

Prestasi yo-yo pada 2018 menyaksikan pemain Nigeria itu gagal menghalang TFC II menamatkan liga di tangga tercorot sebelum kembali bangkit menjuarai Piala Cabaran.

Sasaran lima terbaik musim ini, katanya, lebih sesuai selain mengharapkan kehadiran pemain-pemain muda daripada skuad Piala Presiden mampu membantu mereka.

"Melihat kepada persiapan yang dilakukan, kami berupaya mengharungi musim ini dengan baik walaupun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Secara peribadi, saya mahu menyumbang lebih banyak gol serta bersaing merebut kejuaraan liga," jelas bekas tonggak UiTM FC itu.

Akanni, 34, antara yang dikekalkan bersama TFC II untuk bergandingan dengan Bruno Suzuki di jentera serangan untuk merobek kubu pertahanan Pulau Pinang.

Jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan, juga dijangka mempertaruhkan kelibat muka-muka baru seperti penyerang skuad B-22 negara, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa.

"Mereka begitu bersemangat walaupun masih muda dan tiada masalah untuk mendapatkan keserasian," tambah Akanni.