Selepas mengharungi dua kekalahan sebelum ini, Sarawak akhirnya meraih kemenangan pertama selepas menundukkan pasukan Zon Selatan 1-0 dalam Grand Final Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) 2018.

Tewas di tangan Zon Tengah dan Zon Utara dalam aksi terdahulu, situasi itu pastinya membuatkan skuad kendalian Nasrin Hazizi Muhamdi itu menyimpan hasrat untuk meraih kemenangan ke atas Zon Selatan bagi membolehkan mereka memperbaiki kedudukan di tangga tercorot.

Corak permainan kedua-dua pasukan seimbang dalam babak pertama apabila masing-masing mengasak bagi memburu gol, namun 30 minit pertama perlawanan tamat tanpa sebarang jaringan.

Memasuki babak kedua, Sarawak yang menyarung jersi kuning tampak lebih agresif mengasak ke kubu lawan.

Peluang yang tiba buat pasukan Zon Selatan dilepaskan apabila gagal menyempurnakan sepakan percuma menerusi pemain berjersi nombor 10, Muhammad Danish Raziq.

Sarawak akhirnya memecah kebuntuan apabila Mohd Hasrul N izam menyumbat gol tunggal perlawanan selepas menerima hantaran Mohd Zarmin Asyraf, sekali gus membolehkan Sarawak mengutip tiga mata pertama.

"Saya menerapkan formasi 4-4-2 pada hari ini dan lebih terarah kepada serangan. Terima kasih kepada pemain-pemain kerana mempamerkan persembahan yang baik.

"Saya mengkaji seluruh pasukan dalam dua aksi awal dan akhirnya meraih hasil dalam perlawanan ketiga," ujar Nasrin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Zon Selatan berdepan laluan sukar untuk memberi cabaran buat pasukan di kedudukan teratas liga.