Minggu kedua Liga Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) Malaysia Zon Timur kelmarin menyaksikan pasukan Safa Kota Belud terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B.

Ia selepas pasukan itu kenduri gol dalam dua perlawanan mereka, iaitu membenam Maktab Sabah Junior 5-1 serta menjinakkan Sporting Kinabalu (All Saint) 12-0.

Dua kemenangan itu menyaksikan Safa Kota Belud mengutip mata maksimum selepas menang kesemua empat perlawanan mereka setakat ini untuk mencengkam kedudukan teratas Kumpulan B dengan perbezaan jaringan besar.

Sementara itu, dua lagi pasukan, Simfield Academy FC dan MMT Junior, turut menyamai mata dikutip Safa Kota Belud apabila masing-masing memenangi kesemua empat perlawanan mereka setakat ini, termasuk dua kemenangan Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tangga kedua Kumpulan B kini dihuni Simfield Academy FC dengan kelebihan jaringan sementara MMT Junior kekal di tangga ketiga.

Simfield Academy FC membelasah KVKu Junior FC 5-1 serta menang tipis 1-0 ke atas Karamunich FC Junior manakala MMT Junior meneruskan rentak baik mereka apabila menang selesa 3-0 ke atas Tabs Safa Bandaraya U15 serta menundukkan Karamunich FC Junior 2-0.

Sementara itu, dalam Kumpulan A, pasukan dari Tenom, Kalawon FC, meneruskan rekod cemerlang mereka dalam kejohanan berkenaan apabila mencatat dua lagi kemenangan, iaitu menewaskan Safa Pitas 3-1 dan Safa Kuala Penyu 1-0.

Ia sekaligus mengekalkan pasukan itu untuk terus berada di kedudukan teratas dengan 12 mata daripada empat perlawanan.

Dalam pada itu, Safa Kota Marudu melonjak ke tangga kedua kumpulan A dengan 10 mata selepas turut memenangi dua lagi perlawanan mereka, iaitu menewaskan Young Scorpionz 3-0 serta menundukkan Safa Pitas 3-1.

Safa Putatan pula mengekalkan kedudukan mereka di tangga ketiga dengan lapan mata selepas membelasah SMA Tun Ahmad Shah 5-0 dan mencatat keputusan seri 1-1 dengan Safa Kuala Penyu.

Kejohanan itu akan bersambung untuk minggu ketiga pada 22 April depan di Padang Sukma, Kota Kinabalu, dengan baki 18 perlawanan.

Seramai 13 pemain yang terpilih daripada seluruh negara akan diterbangkan untuk menyertai AJFC Asia di Bali, Indonesia pada Julai dan daripada kejohanan itu juga, tiga pemain berpeluang untuk diserapkan bagi menjalani latihan yang dikendalikan jurulatih pasukan muda Bayern Munich FC di Jerman pada Ogos.