Jurulatih program antarabangsa Bayern Munich, Thomas Dhollner, menyifatkan peserta dari Malaysia antara negara yang mempunyai barisan pemain cemerlang bagi Kem Explorer Allianz Asia Singapura (AJFC).

Dia berpuas hati dengan prestasi peserta Malaysia apabila dapat mengadaptasi situasi menghadapi latihan intensif dalam masa yang singkat.

Jurulatih itu berharap peserta AJFC kali ini dapat menjelmakan aksi meyakinkan sebelum mengesahkan kemaraan pemain yang akan ke Munich.

"Saya berasakan pemain-pemain Malaysia memiliki kemahiran teknikal yang lebih baik daripada peserta lain. Semestinya terdapat peningkatan yang harus dilakukan dan saya sangat gembira dengan persembahan mereka," katanya.

Sementara itu, peserta zon selatan, Derrick Chua Jingye, terlepas untuk menjalani latihan hari ini akibat kecederaan kaki.

Namun, dia optimis masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya menjelang perlawanan pemilihan akhir esok.

"Corak latihan di Malaysia dan Eropah sangat berbeza. Saya berasa sangat gembira kerana dapat menimba pengalaman dalam kem kali ini," kata Derrick.