Kem Explorer Allianz Antarabangsa Munich, Jerman (AJFC) 2019 menutup tirai dengan misi dua peserta Malaysia, Adam Alif Mustapa dan Muhammad Firdaus Amirrudin, mewakili skuad kebangsaan dalam kancah bola sepak pada masa akan datang.

Ilmu yang diraih dari bumi Jerman jelas mampu dijadikan sandaran oleh kedua-dua pemain tersebut pada masa akan datang selepas menerima sentuhan daripada jurulatih program antarabangsa Bayern Munich, Thomas Dhollner.

"Apabila pulang ke Malaysia, mungkin saya akan cuba mara ke peringkat lebih tinggi seperti menyertai sekolah sukan atau mana-mana akademi di Malaysia," kata Adam.

"Dalam masa sama, kesempatan melawat Allianz Arena memberikan saya kepuasan yang tidak dapat digambarkan."

"Banyak perkara yang saya raih daripada kem di sini. Pertama, saya dapat tingkatkan teknik komunikasi kerana sebelum ini, ia menjadi kelemahan diri saya. Kemudian, saya dapat belajar bagaimana untuk merealisasikan impian yang diinginkan," tambah Firdaus.