Peserta Zon Pantai Timur, Adam Alif Mustapa, dan wakil Zon Utara, Muhammad Firdaus Amiruddin, muncul peserta terbaik Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) Explorer Asia di Singapura untuk meraih slot ke Jerman, bulan depan.

Kedua-dua peserta itu merupakan yang terbaik daripada 10 yang bersaing untuk merebut tempat ke Kem Explorer Antarabangsa di kelab Bayern Munich.

Bagi Adam Alif, dia tidak pernah menjangka akan memperoleh peluang itu kerana bergelut dengan kecederaan sepanjang fasa akhir.

"Saya tidak menjangkakan yang saya akan terpilih kerana saya berdepan kecederaan dalam fasa akhir.

"Namun, saya tetap berusaha dan cuba untuk bermain hingga akhirnya berhasil untuk ke Munich.

"Harapan saya, saya dapat berjumpa dengan pemain Bayern Munich di sana untuk mempelajari aspek taktikal dan menjadi pemain profesional," katanya.

Bagi Firdaus pula, dia tidak sabar untuk memulakan pengembaraannya di Jerman.

"Saya amat teruja dan gembira kerana terpilih.

"Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih Allianz dan rakan-rakan yang telah membimbing saya hingga ke tahap ini," katanya.