Hanya berbaki dua hari sahaja lagi sebelum bermulanya perlawanan liga sepusingan Grand Final Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) 2018.

Menjelang aksi AJFC 2018, pasukan dari zon tengah dijangka menghadapi lawan sukar selepas dijangka bertemu Sarawak pada aksi pembukaan 5 Julai nanti.

Ia diakui sendiri oleh jurulatih zon tengah, Mohd Nasir Sharif, selepas bermulanya kem latihan pusat ini.

"Menyedari pasukan dari Sarawak adalah pasukan yang agak lasak, persiapan kami lebih bersifat fizikal untuk menghadapi perlawanan ini," kata Nasir.

Meskipun baru dua hari jurulatih dan pemain yang terpilih ini dipertemukan, Nasir tetap positif dalam menyiapkan pasukan bagi saingan liga sepusingan nanti.

Sementara itu, Ketua Jurulatih zon Sabah, Pangeran Syukri Hj Musa melaungkan keyakinan bahawa pemain-pemain yang terpilih cukup berkualiti bagi menggalas cabaran Zon Sabah di samping mempertahankan kejuaraan lalu,

"Pemain-pemain yang terpilih memiliki kemahiran tersendiri dan positif untuk menghadapi saingan kali ini," kata Syukri.

Beliau juga turut meramalkan saingan pada edisi kali ini lebih mencabar dari kesemua pasukan bertanding lebih lebih lagi dengan penyertaan pasukan dari zon Sarawak.

"Saya percaya semua pasukan sudah membuat persiapan dan kami menyedari cabaran menanti Sabah untuk mempertahankan gelaran ini."