Skuad Zon Tengah positif selepas melakar kemenangan dalam perlawanan persahabatan sehari sebelum pusingan akhir Kem Bola Sepak Remaja Allianz (AJFC) 2018, di UKM Bangi bermula esok sehingga Sabtu ini.

Satu aksi persahabatan diaturkan di semua lokasi latihan pusat menjelang sepak mula pusingan akhir AJFC 2018.

Skuad Zon Tengah di bawah kendalian Nasir Sharif merekodkan kemenangan ke atas Majlis Sukan Putrajaya di Bangi semalam.

Gol pertama Allianz disumbangkan Danish Haikal disusuli lima minit kemudian, pengadil menghadiahkan penalti kepada pelawat untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Rentak garang diteruskan skuad Allianz dalam babak kedua dan hasilnya, Amirul Sudirman cemerlang memastikan kemenangan 2-1 pasukannya.

"Kemenangan 2-1 ini pasti menyuntik semangat pemain untuk memulakan kempen AJFC esok.

"Berdasarkan latihan fasa akhir beberapa hari ini, Insya-Allah kami mampu memberikan cabaran sungguhpun masih terdapat beberapa ruang yang perlu diperbaiki dalam pusingan akhir nanti," kata Nasir.