Tiga tahun lalu, skuad Ajax kendalian Erik Ten Hag mengejutkan Eropah dengan langkah bergaya di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) susulan kejayaan menewaskan finalis musim 2016-17, Juventus, serta juara edisi 2017-18, Real Madrid.

Berbekalkan beberapa nama segar seperti Matthijs de Ligt yang berusia 18 tahun ketika itu, Kasper Dolberg (20 tahun), Donny van de Beek, Frenkie de Jong serta pemain sayap dari Brazil, David Neres (21 tahun), De Godenzonen melakar kejutan, menundukkan The Old Lady dan Los Blancos ketika saingan pusingan 16 terakhir dan suku akhir.




Bagaimanapun, kelibat Lucas Moura bersama Tottenham Hotspur ketika itu memusnahkan harapan seluruh peminat bola sepak di kota Amsterdam, menyebabkan impian untuk mengulangi pencapaian menjulang trofi terulung Eropah pada 1995 terpaksa dilupakan.

Kini, tonggak utama seperti De Ligt, Van de Beek dan De Jong telah pun berhijrah bagi meneruskan karier ke peringkat lebih tinggi tetapi nama Ajax kembali didendangkan untuk mencabar saingan paling elit Eropah selepas mengutip sembilan mata di peringkat kumpulan setelah mencatat tiga kemenangan berturut-turut termasuk mengejutkan Borussia Dortmund 4-0, awal pagi semalam.

Ironinya, skuad kali ini masih berteraskan pemain muda, sama seperti sewaktu musim 2018-19. Pertahanan tengah, Jurrien Timber, baru berusia 20 tahun, Antony berumur 21 tahun sambil jeneral tengah, Ryan Gravenberch, baru mencecah umur 19 tahun pada Mei lalu.












Berdepan Dortmund bimbingan Marco Rose yang tentunya berteraskan antara penyerang paling mencuri tumpuan musim ini, Erling Haaland, Ajax jelas tidak berdepan masalah untuk mencipta empat jaringan tetapi apa yang lebih menarik untuk dijadikan asas cabaran utama Ajax di pentas UCL kali ini adalah statistik yang dihasilkan.

Sebastien Haller – penyerang yang pernah dinamakan selaku antara pembelian paling teruk West Ham United – kini telah mencetak jaringan dalam setiap aksi peringkat kumpulan, membolehkannya mengumpul enam gol dan dua bantuan jaringan termasuk empat kali meletakkan nama dalam senarai penjaring sewaktu aksi pertama menentang Sporting Lisbon. Mungkin dia kini sudah lulus ujian memandangkan namanya disebut sebagai calon untuk ke Dortmund sekiranya Haaland meninggalkan Signal Iduna Park, musim panas nanti.





Ajax juga mencuri tumpuan lain, menjadi salah satu daripada dua pasukan yang meledakkan 11 gol daripada tiga perlawanan – berkongsi dengan Liverpool – sambil pintu gol hanya sekali dibolosi, juga ketika berdepan Sporting.

Justeru, melihat keampuhan Daley Blind mengetuai barisan pertahanan, kelincahan Antony yang mudah mencipta peluang dan Gerakan bahaya dari sebelah kanan, ditambah dengan ketajaman Haller ketika ini, tidak mustahil Ajax mampu mengulangi pencapaian tiga tahun lalu atau mungkin, melangkah lebih jauh walaupun tanpa mana-mana nama gergasi.