Erik Ten Hag berkata tugas Marc Overmars di Ajax belum berakhir di sebalik laporan Newcastle United mengidamkan khidmat pengarah teknikal juara Eredivisie itu.

Newcastle memutuskan untuk berpisah dengan Steve Bruce selepas mendapat pemilik baru dari Arab Saudi menerusi Dana Pelaburan Awam (PIF), justeru beberapa nama seperti Paulo Fonseca, Lucien Favre dan Frank Lampard mula dikaitkan untuk bertindak sebagai pengurus.

The Magpies dikatakan berhajat untuk melantik Overmars untuk memainkan peranan sebagai pengarah teknikal, tetapi pengurus Ajax, Ten Hag, menjelaskan ini bukan masanya untuk bekas pemain sayap Belanda dan Arsenal itu berhijrah.




"Kedudukan pengarah teknikal adalah untuk jangka panjang," kata Ten Hag kepada wartawan.

"Marc mula memikul amanah ini beberapa tahun yang lalu. Dia melakukannya dengan visi tertentu, dia memperkenalkan struktur dan ia berhasil. Ia mula berkembang dan saya rasa prosesnya belum selesai.

"Marc tidak memaklumkan saya mengenai minat daripada Newcastle. Saya tidak fikir dia mahu berselindung apa-apa daripada saya.

"Saya tidak akan menyekat pemergian Overmars tetapi sekarang sudah pasti bukan masanya."

Pengurus itu menambah: "Kami berkembang sebagai sebuah pasukan. Dan jika saya mengharapkan pemain sibuk dengannya maka jurulatih juga harus sibuk dengan pasukan.

"Sekarang bukan masanya untuk mengusahakannya (perpindahan). Adalah penting untuk memberi tumpuan kepada mutu persembahan bersama Ajax."