Ajax, AEK, Young Boys sahkan tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah

Penulis Jemputan
Ogos 29, 2018 00:35 MYT
Ajax, AEK Athens dan Young Boys mengesahkan tempat dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini setelah masing-masing melepasi halangan pusingan play-off, awal pagi tadi.
Gergasi Belanda, Ajax, mengekang Dynamo Kiev 0-0 di Kiev, sekali gus meneruskan kemaraan susulan kejayaan mencatat kemenangan 3-1 dalam perlawanan pertama.
AEK yang menundukkan Videoton 2-1 ketika aksi sebelum ini, turut menempah tiket peringkat kumpulan UCL menerusi kemenangan agregat 3-2 selepas dipaksa mencatat keputusan seri 1-1 di Greece dalam aksi kedua.
Petros Mantalos memecah keuntuan menerusi sepakan penalti sebelum Loic Nego menyamakan kedudukan, 12 minit selepas permainan bersambung.
AEK menempuh tempoh 10 minit terakhir permainan serta sembilan minit waktu kecederaan dengan hanya 10 pemain susulan layangan kad merah terhadap Helder Lopes. Marko Livaja turut dibuang padang pada minit terakhir waktu kecederaan susulan aksinya di atas padang.
Kejutan berlaku di Croatia apabila Young Boys mengatasi Dinamo Zagreb 2-1 untuk memutlakkan kemenangan agregat 3-2 dan mara ke peringkat kumpulan UCL buat kali pertama.
Juara Switzerland itu tampak ditunjukkan jalan keluar selepas Dinamo meletakkan diri di depan menerusi jaringan Izet Hajrovic, pemain yang pernah menyarung jersi seteru domestik Young Boys, Grasshoppers.
Bagaimanapun, dua gol daripada Guillaume Hoarau selepas permainan bersambung membolehkan pelawat mencipta kemenangan sensasi dan menunjukkan tuan rumah jalan ke saingan Liga Europa.