AirAsia FC diarah bayar baki gaji Nidzam Jamil


Disember 23, 2016 03:39 MYT

Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan kelab AirAsia FC membayar tunggakan gaji selama tujuh bulan kepada bekas jurulatihnya, Nidzam Jamil, dalam tempoh dua minggu, namun menolak pampasan awal sebanyak RM500,000 yang diminta bekas pemain Selangor itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain kali ketujuh yang dipengerusikan timbalan pengerusinya, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, hari ini memutuskan Nidzam yang dipecat April lalu berhak menerima baki gajinya yang tidak diterima sejak Mei tahun ini.
Namun, Aziz menjelaskan bahawa Nidzam tidak berhak menerima pampasan berjumlah RM500,000 seperti mana yang diminta.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Status Pemain FAM masih membenarkan AirAsia FC untuk mengemukakan rayuan.
"Tuntuan daripada pihak Nizam, iaitu RM 500,000 sebagai pampasan, telah kami tolak kerana tiada asas yang kukuh untuk meminta pihak AirAsia membayar jumlah itu," jelas Aziz.
Dalam satu kes berasingan, Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI) juga diminta menjelaskan tunggakan gaji kepada empat pemainnya.
Muhammad Ammar Abdul Aziz, Muhamad Hasnan Mat Isa, Sirajuddin Isa dan Muhd Azwan Jatin didakwa masih belum menerima bayaran gaji selama tiga setengah bulan daripada PBI.
"Keputusan yang kami ambil ialah PBI perlu menjelaskan tunggakan berjumlah RM31,850 dalam tempoh dua minggu kepada empat pemain tersebut," kata Aziz.