Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menoktahkan teka-teki mengenai masa depannya bersama pasukan Lang Merah itu apabila bersetuju menandatangani kontrak lanjutan dua tahun bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam masa terdekat.

Mengesahkan perkembangan itu kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pengendali dari Singapura tersebut sekali gus menolak sekurang-kurangnya enam tawaran pasukan Liga Malaysia.

"Saya memang sayang untuk tinggalkan Kedah selepas membentuk pasukan dan pemain-pemain.

"Hubungan pihak pegawai dan pemain sangat penting.

"Buat masa ini saya hanya menantikan tawaran kontrak daripada mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.


Penjenamaan Logo FC KEDAH DARUL AMAN (KDA) Kenapa diwajibkan unsur 17 butir padi dalam rekaan logo FC? Angka 17...

Posted by FA Kedah on Wednesday, October 21, 2020


Bekas jurulatih Home United di Seberang Tambak itu ibarat 'pisang goreng panas' apabila menjadi rebutan beberapa pasukan.

Bermula dengan Selangor, Aidil Sharin kemudian dikaitkan dengan Perak disusuli Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang dan Melaka United.

Malah, jurulatih berusia 43 tahun itu juga menerima tawaran dari Indonesia selain satu dari tanah kelahirannya, Singapura, tetapi tiket ke pentas Asia mendorongnya untuk kekal bersama juara Piala FA 2019 berkenaan.

"Saya rasa ia pentas yang besar cukup berprestij kerana saya pernah terbabit dalam kancah itu selama empat tahun.

"saya tahu perasaannya untuk bersaing dalam kejohanan ini.

"Ia boleh menjadi tempat untuk setiap pemain dan jurulatih menonjolkan sentuhan terbaik mereka," katanya.

Bagi menjayakan misi dalam Piala AFC musim depan, Aidil Syarin berharap dapat mengekalkan anak buahnya musim depan.

"Sejujurnya kami masih berbincang, belum ada apa-apa yang sah lagi tetapi saya berharap dapat mengekalkan sebahagian besar daripadanya," katanya lagi.

Sepanjang dua tahun bersama Kedah, Aidil Shahrin terbabit dalam 52 perlawanan dengan 52 peratus memihak jaguh dari utara itu.