Misi untuk ke pentas Asia menjadi salah satu motivasi buat ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, untuk menumbangkan Felda United dalam separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Kejohanan Piala AFC bukanlah asing buat pengendali itu selepas membawa kelab Singapura, Home United, menjuarai Zon Asia Tenggara tahun lalu.

Hasrat Kedah dinafikan untuk beraksi dalam saingan itu tahun lalu gara-gara tidak memenuhi kriteria pelesenan kelab yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Situasi itu menguatkan lagi keazaman jurulatih kelahiran Singapura itu untuk memastikan kemaraan Kedah ke final Piala FA dan menjadi juara untuk mengesahkan tempat ke Piala AFC musim depan.

"Saya berkeinginan kerana saya merindukan saingan AFC.

"Setiap tahun, saya menyertai saingan AFC di Singapura, namun kami tidak mahu menumpukan kepada itu dahulu.

"Apa yang paling penting, kami perlu fokus untuk memenangi perlawanan malam ini.

"Jika menang, kami boleh bercakap tentang (meraih) kemenangan ke atas Perak.

"Selepas itu, barulah kita akan berbincang mengenai Piala AFC.

"Apa yang paling penting, kami perlu menyudahkan tugasan malam ini.

"Saya amat berharap pemain saya akan fokus.

"Berdasarkan sesi latihan selama beberapa hari ini, saya fikir mereka amat-amat berkeinginan untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

Aidil Sharin memperbaiki ketumpulan jentera serangan Kedah yang dilihat bermasalah ketika melayani kunjungan Felda United di Alor Setar, minggu lalu.

Dalam perlawanan pertama itu, Kedah hanya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti Fernando Rodriguez.

"Apa yang kami mahukan sekarang ialah agar pemain mengambil serius setiap peluang yang diperoleh malam ini.

"Kami tidak boleh melupakan, dengan hanya kelebihan satu gol itu, kami tidak boleh dibolosi sebarang gol.

"Ia bukan hanya tentang serangan," tambahnya.