Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), mara ke suku akhir Piala Malaysia sementara MISC-MIFA kecewa tersingkir selepas skuad Harimau Selatan itu melakar kemenangan selesa 3-0 di Stadium Shah Alam untuk dinobatkan juara Kumpulan C, malam tadi.

MISC-MIFA kelihatan tempang dalam perlawanan itu ekoran tidak dapat menurunkan dua pemain import sementara Harimau Selatan seperti dijangka, menguasai perlawanan sejak wisel ditiupkan.

Nasib tidak memihak JDT pada minit ke-35 apabila percubaan Safawi Rasid mengenai palang sebelum tandukan susulan Fernando Marquez dapat diselamatkan penjaga gol.

Tuan rumah mampu melancarkan serangan dan peluang terbaik dimiliki pada minit ke-40 gagal diterjemah ke bentuk jaringan oleh Bae Beomgeun melalui gerakan Imam Seydi.

Perlawanan terhenti selama enam minit pada babak kedua ekoran Marquez ditimpa kecederaan serius di bahagian kepala sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Gonzalo Cabrera yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-63 tidak mensia-siakan kelebihan diberikan untuk meletakkan pelawat di hadapan.

Peluang JDT makin kukuh apabila giliran Safawi pula meledak jaringan kedua menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-72.

Safawi memahatkan namanya sekali lagi dalam senarai penjaring apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti kedua pada minit ke-82 bagi memastikan JDT ke suku akhir berdepan Pahang.

"Pada mulanya agak sukar untuk kami menjaringkan gol dalam babak pertama.

"Gol dalam separuh masa kedua membolehkan kami menambah satu lagi jaringan hasil usaha tidak berputus asa pemain.

"Ia kekuatan bagi kami pada malam ini (tadi)," ujar pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak.

Ketua jurulatih MISC-MIFA, K. Devan, pula menyimpulkan: "Apabila bola di kaki, kami gagal membuat hantaran dan mengawal bola dengan baik .

"Saya nampak ada kelemahan malam ini (tadi) berbanding prestasi di Larkin dalam aksi sebelum ini."