Pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mengakui sukar menerima keputusan pengadil perlawanan di antara Malaysia dan Hong Kong, Christopher Beath, dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Namun, dia menegaskan bahawa dia tidak mengasari pengadil dari Australia itu walaupun mengakui ada menolak tangan pengadil berkenaan dalam aksi yang berkesudahan 1-1 itu.

Bagi Aidil, layangan kad kuning kepada Rizal Ghazali pada minit akhir perlawanan turut menyebabkan dia sedikit beremosi.

Permainan tetap diteruskan sejurus Rizal meninggalkan padang, namun situasi menjadi sedikit tegang apabila Beath menghadiahkan penalti pada masa kecederaan yang menyaksikan Aidil melakukan bantahan sebelum dilayangkan kad kuning keduanya.

Penjaga gol, Hafizul Hakim, cekap untuk menafikan rembatan Alessandro Leonardo untuk memastikan Malaysia meraih satu mata.

"Kami memberikan aksi 100 peratus pada malam ini (malam tadi), keputusan pengadil itu yang kami tidak boleh terima.

"Saya rasa bermula daripada insiden kad merah Rizal Ghazali, ia membuatkan saya sendiri tidak berapa setuju dengan keputusan pengadil.

"Apapun, keputusan adalah muktamad," katanya.

Justeru, Aidil sedar dia mungkin dikenakan tindakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan menyerahkan kepada badan induk bola sepak Asia itu untuk membuat pertimbangan terbaik buatnya.

"Saya bersedia menghadapi apa-apa (tindakan) sekalipun. Tengok balik rakaman yang membuatkan saya mendapat kad kuning kedua.

"Mungkin keputusan pengadil itu mengatakan saya telah menyentuhnya. Kalau diikutkan memang saya sentuh sedikit tangan pengadil tetapi saya tidak menolaknya.

"Ia membuatkan pengadil tidak boleh terima dan terus memberi kad kuning kepada saya.

"Apa-apa pun kita tengok apa keputusan daripada AFC ataupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) nanti," katanya.