Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak, enggan mengambil mudah perlawanan berdepan T-team meskipun mereka sudah sah merangkul trofi kejuaraan Liga Super buat kali ketiga musim ini.

JDT tetap mahu meraikan kejuaraan Liga Super malam ini dengan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Walaupun menyedari bahawa mereka akan tetap menjulang kejuaraan sekalipun jika tewas di tangan The Titans, Aidil menyifatkan ia pasti akan menjadi lebih manis jika pasukannya berjaya menundukkan lawan dari Pantai Timur itu.

Apatah lagi, skuad kendalian Rahmad Darmawan semakin menunjukkan peningkatan, lebih-lebih lagi dalam aksi suku akhir Piala Malaysia yang lalu.

"Satu lagi sejarah yang kami mahu lakukan pada tahun ini adalah kami mahu bermain dalam liga tanpa kekalahan dan ia juga antara matlamat kami dalam perlawanan malam ini.

"Selagi perlawanan belum tamat, kami akan terus memberikan fokus kepada permainan," jelas Aidil.

Masih belum pasti adakah dia akan diturunkan atau tidak, namun Aidil tetap bersedia dan akan beraksi seratus peratus dengan cemerlang sebelum mempersiapkan diri untuk bermain dalam separuh akhir Piala AFC pada 28 September nanti.

"Masih belum pasti lagi adakah saya akan diturunkan atau pun tidak. Sekiranya saya diturunkan dalam kesebelasan utama, saya akan bermain seperti biasa.

"Sekiranya tidak berada dalam kesebelasan utama, saya terima kerana coach Mario pastinya ada percaturan tersendiri.

"Sebagai pemain, kami perlu faham bahawa jika diberi peluang untuk bermain, kami perlu bermain dengan sehabis baik.Jika direhatkan, kami perlu menggunakan waktu itu untuk berehat dengan sebaik-baiknya."