Teka-teki mengenai PKNS FC akhirnya terjawab selepas kelab itu diterima sebagai pasukan 'feeder' Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bermula musim depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, selepas dipersetujui oleh kesemua 47 ahli gabungan dalam satu kongres luar biasa (EGM) badan induk itu, semalam.

Tambahnya, cadangan itu merupakan langkah awal gabungan kedua-dua pasukan berkenaan sebelum diusulkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Sekiranya Semut Merah memberi lampu hijau, pasukan itu bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan selepas kali terakhir menjuarainya pada 2011.

Dalam EGM itu, mereka sebulat suara menerima PKNS sebagai kelab 'feeder' pada musim depan.

"Proses ini belum lagi selesai. Pihak PKNS perlu melakukan perkara yang sama dan setelah MFL menerima permohonan kedua-dua pihak, barulah MFL akan membenarkannya," katanya yang ditemui dalam Majlis Pelancaran 'FAS Soccer School' dalam usaha badan induk itu mencungkil bakat muda di peringkat akar umbi.

Tambahnya: "Ini program akar umbi yang baru dilancarkan FAS.

"Ia bertujuan meningkatkan penglibatan anak-anak muda Selangor dalam bola sepak.

"Objektif kami adalah untuk melihat seramai mungkin dan pada usia yang semuda mungkin di Selangor."