Pep Guardiola yakin bahawa dua pemain Manchester City, Raheem Sterling dan Sergio Aguero, akan kekal bersama pasukan bagi mempertahankan kejuaraan liga musim depan.

Hubungan di antara Aguero dan pengendali dari Sepanyol itu sering menjadi perhatian ekoran waktu permainan yang kurang buat penyerang Argentina itu dan pada minggu ini, penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan itu dilaporkan bakal ke Atletico Madrid.

Pemain berusia 29 tahun itu mencatat 30 gol dalam semua kejohanan musim ini sebelum mengalami kecederaan lutut.

Ketika bercakap dalam sidang media bagi aksi terakhir liga bertemu Southampton malam esok, Guardiola menolak dakwaan bahawa penyerangnya itu akan menggantikan tempat Antoine Griezmann setelah pemain Perancis itu dilihat bakal ke Barcelona.

“Ia tidak akan berlaku. Saya tidak akan membenarkannya terjadi,” kata Guardiola.

“Musim lepas, ia berlaku beberapa kali ketika sidang media dan saya telah menjelaskan beribu kali bahawa Aguero akan kekal sehingga dia sendiri memutuskan tempohnya bersama City sudah tamat.

“Sebab itu, saya katakan ia tidak akan berlaku tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi.”

Pemain sayap England, Sterling, mengharungi musim membanggakan apabila meraih 18 gol liga serta 11 bantuan jaringan.

Sterling yang kini berusia 23 tahun dilaporkan membuat keputusan untuk menangguhkan perbincangan kontrak baru sehingga tamat saingan Piala Dunia.

“Pihak kelab, pengerusi dan saya sendiri mahukan Sterling untuk kekal lama dan menandatangani kontrak baru,” tambah Guardiola.

“Kami mahu dia berada di sini selama yang boleh.”