Pep Guardiola yakin Sergio Aguero bersedia membantu Manchester City dalam final Liga Juara-Juara (UCL) sebagai hadiah perpisahan yang manis.

Aguero keluar dari bangku simpanan untuk membantu juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membelasah Everton 5-0 -- perlawanan terakhirnya di England sebelum kontrak di Stadium Etihad berakhir bulan depan.

Segala perhatian kini mula beralih ke perlawanan menentang Chelsea di gelanggang milik Porto, Estadio do Dragao, bagi perebutan gelaran UCL dalam masa enam hari lagi. Lantas Guardiola menyifatkan jaringan penyerang Argentina itu -- yang ke-183 dan ke-184 -- sebagai demonstrasi yang tepat pada masanya bagi membuktikan kualitinya sejak sekian lama.

"Ya, tentu saja (dia mungkin beraksi dalam final)," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami mempunyai lima penggantian. Pada awalnya, saya tidak pasti jadi saya harus mempertimbangkannya.

"Sergio memiliki sesuatu yang istimewa. Sudah tentu dia sedia membantu kami jika kami memerlukannya untuk memenangi UCL."

Aguero meningkatkan rekodnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman City dengan catatan 260 gol, malah mengatasi rekod 183 jaringan milik Manchester United, Wayne Rooney, atas sumbangan penyudah sebuah kelab di England.

Guardiola tidak dapat menahan air matanya ketika membincangkan legasi juara lima kali itu dalam temu ramah bersama Sky Sports.

Walaupun kedua-duanya tidak selalu bersependapat sepanjang lima musim Guardiola di Manchester, pengurus itu bagaimanapun menegaskan penyerang Argentina berkenaan tetap menerima kasih sayangnya seperti yang pemain lain.



"Ia pernah berlaku di Barcelona, ​​kadang-kadang ia berlaku (menjadi emosional)," katanya.

"Sergio telah membawa kelab ini ke tahap yang kami nikmati sekarang. Dia pemain istimewa.

"Ini pengakhiran yang sempurna, ibarat kisah dongeng. Kami memenangi perlawanan, kami pernah mengecapi beberapa saat manis bersama-sama."

Guardiola menjelaskan Aguero -- yang kempen terakhirnya di Manchester sering diselubungi kecederaan -- sendiri yang meminta untuk disenaraikan di bangku simpanan ketika pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu.

"Kami bercakap dengan Sergio kelmarin, dia bergelut dengan sedikit masalah dan berkata, 'apa yang anda mahu lakukan?'," tambahnya.

"Dia menjelaskan bahawa dia mahu beraksi dalam 30 minit terakhir tetapi dia tidak memberitahu saya bahawa dia hanya memerlukan 30 minit untuk menjaringkan dua gol. Dia melakukannya lagi.

"Sempurna, cukup bagus buatnya."