Penyerang Barcelona, Sergio Aguero, akan diketepikan selama tiga bulan selepas menjalani rawatan yang membabitkan mengalami masalah kardiovaskular.

Aguero terpaksa digantikan ketika kelab Catalan itu seri 1-1 dengan Deportivo Alaves dalam LaLiga selepas mengadu pening dan tidak selesa di dadanya.

Bekas bintang Manchester City itu segera dihantar ke hospital bagi pemeriksaan jantung dan kini tidak akan dapat menyertai Barca hingga sekurang-kurangnya Februari depan.

Satu kenyataan kelab mengesahkan: "Pemain pasukan utama, Sergio Aguero, telah menjalani proses diagnostik dan terapeutik oleh Dr. Josep Brugada.

"Dia tidak dapat diturunkan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan keberkesanan rawatannya akan dinilai bagi menentukan proses pemulihannya."

Aguero hanya memulakan dua perlawanan sejak menyertai Barca selepas menamatkan tempoh 10 tahun yang menakjubkan dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pasukan Catalan itu akan berdepan Dynamo Kiev awal pagi esok dalam pertembungan penting Kumpulan E, Liga Juara-Juara (UCL) untuk memperbaiki kedudukan mereka di tangga ketiga selepas tiga perlawanan.