Jose Mourinho berasakan reaksi Sergio Aguero berkenaan dengan insiden hantukan kepala dengan Marouane Fellaini memainkan peranan dalam layangan kad merah terhadap pemain tengah Manchester United itu.

Selepas hanya 19 saat dilayangkan kad kuning ekoran mengasari penyerang Argentina itu, Fellaini kemudiannya melakukan satu lagi kekasaran sebelum bertindak menghantukkan kepalanya terhadap pemain itu.

Pengadil, Martin Atkinson, kemudian melayangkan kad merah terhadap pemain antarabangsa Beligum itu pada minit ke-84, dengan United terpaksa bertahan dengan perlawanan berbaki enam minit.

Walaupun Mourinho berkata Fellaini harus dipersalahkan dalam layangan kad merah tersebut, namun dia berkata reaksi Aguero terhadap insiden itu meyakinkan Atkinson untuk mengambil tindakan drastik.

"Saya tidak menonton televisyen. Saya bercakap dengan Marouane dan dia sangat kecewa, dia berasakan pengadil mengambil keputusan itu kerana dia Marouane Fellaini," Mourinho memberitahu Sky Sports.

"Saya turut bercakap dengan Martin (Atkinson) dan pada pendapatnya keputusan kad merah adalah betul. Saya tidak melihat ulang tayang tetapi saya boleh mengagak Aguero bertindak bijak dalam mengambil kesempatan itu."

Walaupun ketiadaan pemain tonggak seperti Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Juan Mata dan Marcos Rojo, namun Mourinho berpuas hati dengan aksi babak pertama anak buahnya.

Dia berkata: "Kami mahu menyerang dengan lebih baik dan cuba mencuri peluang menerusi serangan balas. Dalam babak pertama kami masih mampu mengawal permainan tetapi dalam separuh masa kedua, keadaan lebih sukar.

"Lagi menyukarkan kami apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain.

"Mereka bermula baik dalam babak kedua, sehingga kami gagal menggerakkan bola. Kami kehilangan kualiti di bahagian tengah, terutama dalam membuat hantaran kepada jentera serangan."

Keputusan seri tersebut meletakkan United kini 24 perlawanan tanpa kalah berturut-turut dalam saingan liga -- menyamai rekod mereka dalam satu musim -- dan Mourinho memuji ketahanan dipamerkan pemainnya.

"Kami melakukannya berdepan lawan yang mahu menang di laman sendiri walaupun beraksi dengan 10 pemain," katanya.

"Saya tidak memiliki pemain tengah di bangku simpanan. Kami sedang bergelut kerana ketiadaan pemain utama."