Malaysia perlu melihat skop lebih besar menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 berbanding hanya bergantung kepada berbasikal trek, badminton dan terjun untuk membutirkan pingat.

Atas faktor itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa program memperkasakan persatuan sukan kebangsaan perlu dilaksanakan.

"Kami perlukan projek khas bagi kitaran Sukan Olimpik.

"MSN (Majlis Sukan Negara) boleh menjalankan program seperti Sukan SEA dan Komanwel, tapi oleh kerana MOM merupakan peringkat tertinggi, kami perlu mengetahui dan terbabit dengan (projek) MSN sejak dari mula.

"Kami tidak mahu ada salah faham tentang perkara ini. Ayuh mulakan kerjasama di peringkat tertinggi demi Sukan Olimpik kerana kami masih tercari-cari medal emas ini.

"Tapi daripada segi pendekatan, kami haruslah mempunyai perancangan yang kukuh yang mungkin melibatkan sukan lain," katanya di Nadi Arena.




MOM tidak mahu hanya bersandarkan kepada 10 sukan teras di samping beberapa sukan lagi, sebaliknya mula melihat kepada skop yang lebih besar.

"Memperkasakan 10 sukan teras ini (bermaksud) melihat apakah bantuan yang boleh ditawarkan secara spesifik, lebih teliti dan mengembangkan sukan yang boleh memudahkan peralihan mereka ke Sukan Olimpik.

"Kami tidak boleh terus bergantung kepada badminton, terjun dan berbasikal trek.

"Kami harus melihat tujuh sukan yang berpotensi dan beberapa yang lain lagi kerana mungkin ada penambahan baru daripada IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) untuk temasya Paris 2024 dan Los Angeles 2028."