Pertahanan berpengalaman, Mohd Afif Amiruddin, tidak berasa ia satu masalah besar buat barisan belakang skuad Tok Gajah mengharungi musim ini tanpa tonggak import selepas berjaya membantu Pahang meraih tiga kemenangan berturut-turut.

Pahang menjadi satu-satunya pasukan Liga Super yang tidak menggunakan pemain import di bahagian pertahanan apabila menggugurkan Alex Morais sebelum pintu perpindahan ditutup.

Semuanya kerana Dollah Salleh mahu menggunakan dua penyerang import, Francis Forkey Doe dan Patrick Cruz, di dalam pasukan.

Afif, yang sekadar memanaskan bangku simpanan sebelum ini, akhirnya mendapat ruang dalam kesebelasan utama apabila membentuk kombinasi bersama Muslim Ahmad di posisi pertahanan tengah.

"Ia menjadi tanggungjawab yang besar untuk saya dan Muslim. Saya perlu bekerja keras dan percaya rakan sepasukan. Kami perlu bantu-membantu," kata Afif.

Afif, yang bersama Pahang sejak musim lalu, sedar dia sering kali jadi mangsa kritikan penyokong kerana gagal beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangatnya dengan menanggap ia sudah menjadi lumrah dalam karier pemain bola sepak.

"Ia memberi semangat kepada saya dan membuatkan saya jadi lebih kuat. Saya mengambilnya sebagai positif.

"Peminat ini hanya memerlukan keputusan, jadi kami tahu bagaimana untuk menghadapi mereka. Perkara seperti ini biasa bagi saya," katanya lagi.