Semangat juang tinggi dan keazaman untuk mencipta sejarah menjadi elemen utama kejayaan skuad wanita Universiti Sains Malaysia (USM) FC muncul sebagai naib johan Kumpulan D untuk layak ke suku akhir Liga Bola Sepak Rakyat Wanita (LBRW) 2017, kelmarin.

Ketua Jurulatih USM FC, Mohd Affendi Ibrahim, berkata kemenangan tipis 1-0 ke atas Kerian FC ini cukup bermakna kerana mereka berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan.

“Tahniah kepada semua pemain, pihak pengurusan, penaja dan penyokong yang sentiasa mendoakan kejayaan skuad ini. Alhamdulillah, kami mara ke suku akhir sebagai naib johan di belakang Kota Setar dari Kedah,” katanya.

Affandi juga berharap kejayaan mara ke suku akhir tidak melekakan pemainnya, sebaliknya terus berusaha membaiki segala kesilapan sepanjang tiga perlawanan dalam kumpulan D.

“Ketumpulan barisan serangan akan diperbaiki segera. Sepatutnya, dalam perlawanan yang hampir 70 peratus kami kuasai, USM FC mampu menjaringkan lebih daripada satu gol.

“Kami juga mendapat pengajaran berguna apabila kalah 4-0 kepada skuad pilihan, Kota Setar, dalam perlawanan kedua dan kami (barisan jurulatih) berjanji akan memperbaiki segala kekurangan menjelang pusingan suku akhir nanti,” katanya.

Untuk rekod, skuad USM FC memulakan aksi sulung mereka dalam kejohanan LBRW dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang skuad tuan rumah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perlis.

USM FC kemudian terpaksa akur dengan pengalaman yang dimiliki pasukan Kota Setar apabila tewas 4-0 dan terpaksa menunggu perlawanan ketiga menentang Kerian dari Perak untuk mengesahkan tempat ke suku akhir sebagai naib johan Kumpulan D.