AFCON: Tunisia singkir Nigeria

Muzaffar Musa
Januari 24, 2022 01:13 MYT
NIGERIA 0 TUNISIA 1
Gol tunggal Youssef Msakni membawa Tunisia, yang terjejas dengan kes jangkitan COVID-19, ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), selepas menewaskan 10 pemain Nigeria dalam perlawanan pusingan 16 di Garoua, Cameroon awal pagi tadi.
Tunisia melepasi peringkat kumpulan tanpa ketua jurulatih, Mondher Kebaier, dan beberapa pemain utama berikutan jangkitan koronavirus di kem mereka.
Walaupun dengan serba kekurangan, mereka tetap mampu menyingkirkan Nigeria untuk menempah tempat menentang Burkina Faso dalam penentuan ke separuh akhir.
Montassar Talbi muncul satu-satunya pemain yang berhasil melakukan percubaan tepat sepanjang babak pertama penuh hambar di Garoua tetapi sepakan rendah Msakni pada minit 47 sudah cukup untuk menewaskan penjaga gol Nigeria, Maduka Okoye.
Nigeria terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-66 apabila pemain gantian, Alex Iwobi -- yang baru tujuh minit di atas padang -- dilayangkan kad merah oleh pegadil, Maguette Ndiaye, gara-gara terjahan berbahaya ke atas Msakni.
Super Eagles meningkatkan permainan mereka bagi memburu gol penyamaan tetapi gagal menemuinya sehingga wisel penamat.

⏭ QUARTER-FINALS ✅ The Eagles of Carthage soar through to the final 8️⃣ for the fourth successive time ? ?? #TotalEnergiesAFCON2021 | #AFCON2021 | #TeamTunisia | @FTF_OFFICIELLE pic.twitter.com/ktJenzRfEB

— #TotalEnergiesAFCON2021 ? (@CAF_Online) January 23, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Nigeria #Tunisia #Piala Negara-negara Afrika