SENEGAL 0 MALAWI 0

Senegal menjamin tempat ke pusingan 16, Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) sebagai juara Kumpulan B selepas sepakan penalti Malawi dibatalkan untuk keputusan buntu tanpa jaringan, awal pagi tadi.


Skuad Teranga Lions hadir dalam kejohanan itu sebagai salah sebuah pasukan pilihan dan walaupun mereka mengungguli tangga teratas kumpulan dengan lima mata, persembahan mereka masih belum cukup meyakinkan.

Malawi sebaliknya lebih mengancam dalam separuh masa pertama apabila beberapa percubaan Gabadinho Mhango kerap menguji gawang lawan yang dikawal Edouard Mendy.

Senegal mula mengatur gerakan pada awal separuh masa kedua dengan tandukan Abdou Diallo hampir memecah kebuntuan, namun corak permainan mereka masih tenggelam.

Malawi kemudian kelihatan hampir mendahului perlawanan apabila dihadiahkan sepakan penalti ketika permainan berbaki 15 minit berikutan kekasaran Bouna Sarr terhadap Gomezgani Chirwa, tetapi keputusan itu dibatalkan selepas campur tangan video bantuan pengadil (VAR).

Dengan keputusan 0-0 itu, Senegal tetap menduduki tempat teratas kumpulan dan ini bermakna mereka akan menentang salah sebuah pasukan terbaik di tempat ketiga, sementara Malawi mengisi tangga ketiga kumpulan di belakang Guinea.


Sementara itu, Guinea terpaksa menanti penuh debaran sebelum mengesahkan kemaraan secara automatik biarpun tewas mengejut 1-2 kepada Zimbabwe dalam pertembungan di Stade Ahmadou Ahidjo.

Walaupun anak buah Kaba Diawara tersebut sebelah kaki untuk ke mara ke peringkat kalah mati, Zimbabwe -- yang kalah dalam dua perlawanan awal -- memberi kejutan kepada lawan mereka itu bagi menamatkan kemarau 14 perlawanan tanpa kemenangan.