AFCON: Senegal manfaat percaturan bangku simpanan

Shaiful Shamsudin
Januari 31, 2022 02:19 MYT
SENEGAL 3 EQUATORIAL GUINEA 1
Cheikhou Kouyate dan Ismaila Sarr menggegar pintu gol lawan dalam 25 minit terakhir untuk Senegal mengatasi Equatorial Guinea 3-1 dan mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Pasukan kendalian Aliou Cisse itu selesa mengawal permainan dalam separuh masa pertama dan mula menerajui perlawanan pada minit ke-28 apabila Famara Diedhiou dengan tenang mengatasi Jesus Owono selepas menerima umpanan Sadio Mane.
Equatorial Guinea menyangka mereka berpeluang untuk menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat berikutan tendangan Iban Salvador singgah ke tangan Kalidou Koulibaly di dalam kotak penalti, tetapi pengadil, Victor Gomes, membatalkan keputusan awalnya itu sejurus menyemak semula insiden berkenaan menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat Equatorial Guinea untuk bangkit. Mereka berhasil mengikat kedudukan pada minit ke-57 apabila rembatan Jannick Buyla melepasi kawalan Edouard Mendy.
Kouyate hanya memerlukan tiga minit selepas dimasukkan dari bangku simpanan untuk memulihkan kelebihan Senegal ketika perlawanan berusia 68 minit.
Pemain gantian, Sarr, kemudian melengkapkan kemenangan dengan penyudah mudah menuju 11 minit baki permainan untuk menghantar pasukannya mara ke separuh akhir kedua berturut-turut buat julung kalinya,
Senegal kini akan menentang Burkina Faso yang mengejutkan Tunisia 1-0 semalam dalam pertembungan Khamis ini.

?? ? ➡️ FINAL 4️⃣#TeamSenegal reach the semi-final for the second successive time ? #TotalEnergiesAFCON2021 | #AFCON2021 pic.twitter.com/3CFBaHAJKb

— #TotalEnergiesAFCON2021 ? (@CAF_Online) January 30, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.