Pemain sayap Chelsea, Hakim Ziyech, diketepikan daripada skuad Maghribi untuk menghadapi kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada bulan depan.

Pemain berusia 28 tahun itu tidak mewakili negaranya sejak terbabit dalam perlawanan persahabatan menentang Burkina Faso pada Julai lalu berikutan dilaporkan bertelagah dengan ketua jurulatih, Vahid Halilhodzic.

Ziyech tidak termasuk dalam senarai 25 pemain Maghribi yang diumumkan malam tadi menjelang kejohanan tertunda itu yang bakal berlangsung dari 9 Januari hingga 6 Februari depan.

Ia akan dianggap sebagai dorongan buat Chelsea yang berdepan kehilangan bekas penyerang Ajax itu sepanjang tempoh sibuk pada musim ini.

The Blues akan mengharungi sekurang-kurangnya enam perlawanan yang melibatkan pertembungan dengan Liverpool, Manchester City dan Tottenham.





Ziyech telah beraksi sebanyak 18 kali dalam semua kejohanan musim ini -- penampilan ke-10 terbanyak dalam kem The Blues -- dengan 13 daripadanya sebagai pemain utama.

Dia telah terlibat secara langsung dalam tujuh gol -- tiga gol dan empat bantuan jaringan untuk sumbangan tertinggi di belakang Jorginho, Mason Mount dan Reece James.

Sementara itu, pertahanan Ajax, Noussair Mazraoui, turut tercicir daripada skuad Maghribi, namun kelibat Achraf Hakimi dan Youssef En-Nesyri -- yang baru-baru ini kembali daripada kecederaan lutut yang panjang -- bakal dipertaruhkan.

Maghribi, yang meraih satu-satunya kejayaan Piala AFCON pada 1976, berada dalam Kumpulan C bersama Ghana, Gabon dan Comoros.