BURKINA FASO 1 SENEGAL 3

Senegal mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali kedua berturut-turut selepas jaringan Abdou Diallo, Idrissa Gueye dan Sadio Mane memastikan kemenangan 3-1 mereka ke atas Burkina Faso di Yaounde awal pagi tadi.

Hasrat pasukan bimbingan Aliou Cisse itu untuk menjulang trofi AFCON pertama pada 2019 dihampakan dengan kekalahan di tangan Algeria pada 2019 tetapi mereka kini berpeluang untuk menebus kehampaan itu menjelang aksi final bertemu sama ada Cameroon atau Mesir hujung minggu ini.

Senegal menyangkakan mereka akan diberikan sepakan penalti dalam waku kecederaan babak pertama tetapi pengadil, Bamlak Tessema Weyesa, mengubah keputusan asalnya selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) kerana mendapati bola sepakan Gueye terkena perut dan bukannya yangan Edmond Tapsoba.

Bagaimanapun, Lions of Terangga akhirnya berhasil memecahkan kebuntuan pada minit ke-70 apabila pertahan Paris Saint-Germain (PSG), Diallo, melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol gantian, Sofiane Ouedraogo.

Berselang enam minit, Senegal menggandakan kelebihan mereka apabila Gueye menjaringkan gol dari jarak dekat selepas bergandingan dengan Mane.

Ibrahim Toure merapatkan jurang buat Burkina Faso menerusi kuisan tumitnya pada minit ke-82 tetapi Mane memastikan kemenangan buat Senegal dengan gol peribadi ketiganya dalam edisi kali ini.