CAMEROON 1 CAPE VERDE 1

Tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Cameroon lolos ke fasa kalah mati sebagai juara Kumpulan A walaupun terikat 1-1 dengan Cape Verde,awal pagi tadi.


Cameroon telah pun menjamin tempat ke kalah mati selepas memenangi dua perlawanan pertama tetapi hajat mereka untuk menamatkan kumpulan dengan rekod bersih tidak kesampaian.

Mereka kelihatan di laluan tepat apabila Vincent Aboubakar sekali lagi merobek gawang lawan untuk jaringan kelimanya dalam tiga perlawanan selepas penyerang itu menemui sudut bawah kanan pintu gol pada minit ke-39.

Tetapi Blue Sharks menyamakan kedudukan dalam satu-satunya percubaan tepat yang dimiliki sejurus selepas rehat.

Garry Rodrigues menyambut umpanan ke belakang Kenny Rocha Santos dengan tumitnya sekali gus melepasi jangkauan Andre Onana.

Gol itu mengekalkan harapan Cape Verde untuk mara sungguhpun menamatkan kempen peringkat kumpulan di belakang Cameroon dan Burkina Faso, tetapi mempunyai peluang baik untuk mengambil salah satu slot kalah mati yang diberikan kepada empat pasukan terbaik tempat ketiga.