BURKINA FASO 1 GABON 1
(Burkina Faso ke suku akhir selepas menang penentuan penalti 7-6)

Ismahila Ouedraogo menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk Burkino Faso menewaskan Gabon 7-6 dalam penentuan itu selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Stade Omnisport de Limbe awal pagi tadi.

Perlawanan sengit itu terpaksa diheret ke masa tambahan selepas Gabon meraih gol penyamaan dramatik dan penentuan penalti mendebarkan bagi perebutan ke suku akhir itu juga berlangsung sengit sebelum pemain berusia 22 tahun, Ouedraogo, menyempurnakan sepakan terakhir buat Burkina Faso.

Terdapat juga sepakan penalti dalam waktu sebenar selepas insiden Issa Kabore dijatuhkan Sidney Obissa pada minit ke-14 tetapi sepakan Bertrand Traore sekadar hinggap di palang gol Gabon.

Bagaimanapun, penyerang Aston Villa itu menebus kegagalannya berselang 10 minit apabila berhasil menemui lorongan Hassane Bande dan menolak masuk bola melepasi kawalan penjaga gol Gabon, Jean Noel Amonome.

Gabon menyangkakan mereka telah menyamakan kedudukan pada empat minit terakhir babak pertama, di mana hantaran jauh ketua pasukan, Ecuele Manga, menemui Aaron Salem Boupendza, yang mudah menjaringkan gol itu sebelum menyedari dia berada di kedudukan ofsaid.

Obissa kemudian diarahkan keluar padang gara-gara layangan kad kuning kedua pada minit ke-67 tetapi kekurangan seorang pemain tidak menghalang Gabon untuk terus memberikan asakan dan berhasil menemui gol penyamaan pada minit ke-91 menerusi tandukan Ecuele Manga yang sempat terkena pemain tengah lawan, Adama Guira.

Tambahan masa selama 30 minit juga masih belum cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan, bahkan mereka juga terikat 6-6 selepas lapan sepakan penalti pertama.

Selepas sepakan penalti kesembilan Gabon yang diambil Lloyd Palun terkena palang, Ouedraogo menamatkan penentuan itu dengan memperdayakan Amanome ke arah berbeza, sekali gus memastikan kemaraan Stallions untuk bertemu Tunisia dalam suku akhir.