Jurulatih Gabon, Patrice Neveu, diuji positif COVID-19 dan terlepas mengendalikan sesi latihan semalam sementara ketua pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang, kembali daripada kuarantin.

Gabon memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan kemenangan 1-0 ke atas Comoros pada Isnin lalu tetapi kelibat pengendali itu nampaknya sudah pasti terhalang untuk perlawanan kedua dengan Ghana, malam ini.

Persekutuan Bola Sepak Gabon mengesahkan Neveu dijangkiti COVID-19 dengan menyatakan sesi latihan semalam telah diketuai oleh penolong jurulatih, Anicet Yala, yang dirinya turut diuji positif sebaik tiba di Cameroon minggu lalu.

Penyerang Arsenal itu dan pemain tengah Monaco, Mario Lemina, juga dijangkiti pandemik berkenaan sebelum kejohanan bermula tetapi kedua-duanya kembali ke padang latihan dan mungkin terlibat apabila menghadapi Ghana.

Aubameyang berkata sepanjang dikuarantin dia tetap berlatih dengan basikal senaman dan mesin larian di bilik hotelnya bagi mengekalkan tahap kecergasan asasnya.

“Mengekalkan diri ketika kuarantin bukanlah mudah,” katanya.

"Jadi kami gembira dapat kembali berlatih dan bersama skuad."




Aubameyang, bagaimanapun, menganggap masih terlalu awal untuk berasa tenang tentang kemaraan Gabon dalam kejohanan itu sambil menegaskan dia dan rakan sepasukannya harus kekal fokus ketika cabaran Ghana menanti mereka.

“Saya tidak akan berasa tenang tetapi pastinya berasa baik untuk memulakan kempen dengan kemenangan,” katanya dipetik di laman sesawang pasukan Gabon.

“Selepas itu, kami juga tidak sepatutnya fikir bahawa kami akan memenangi AFCON.

“Kami akan menentang lawan yang sangat sukar yang mahu memenangi pertembungan ini, jadi kami perlu serius seperti kami dalam perlawanan pertama dan saya tahu bahawa kami akan mempunyai peluang.

"Saya sangat gembira kerana pemain berjaya menyempurnakan tugasan perlawanan pertama, kami semua berbangga dengan mereka. Kini terserah kepada saya untuk menaikkan tahap kualiti dan menawarkan segala kudrat untuk pasukan ini."