Selepas mempamerkan aksi mantap dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2017, ketua jurulatih Cameroon, Hugo Broos, percaya skuad kendaliannya layak beraksi dalam final selepas membenam Ghana 2-0 di peringkat separuh akhir.

Skuad Singa Waja itu memulakan saingan separuh akhir sebagai pasukan underdog selepas menewaskan Senegal menerusi sepakan penalti sebelum itu.

Bagaimanapun, sebaik perlawanan dimulakan, mereka beraksi dengan baik dan walaupun Ghana mendominasi babak kedua, Cameroon berjaya menoktahkan kemenangan menerusi gol Michael Ngadeu-Ngadjui dan Christian Bassogog dalam tempoh 18 minit terakhir.

"Kejayaan ini bagaikan mimpi," Broos memberitahu wartawan. "Saya sangat gembira, terutama dengan prestasi pasukan ini.

"Mereka ini boleh dianggap sebagai pasukan contoh di atas dan di luar padang.

"Ghana merupakan sebuah pasukan yang telah mara ke enam peringkat separuh akhir berturut-turut di AFCON. Namun, dari permulaan saingan lagi, kami telah membuktikan semangat juang untuk menang."

Cameroon bakal berdepan Mesir di Libreville pada Ahad dengan anak buah Broos mahu membalas dendam di atas kekalahan kepada lawan sama dalam final 2008.