Badan induk bola sepak Asia, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan 15 Februari sebagai tarikh akhir bagi semua pasukan memuktamadkan pendirian berhubung jadual baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

AFC menetapkan perkara itu kepada semua 40 pasukan bertanding yang melibatkan lapan kumpulan dalam menentukan sama ada mahu meneruskan saingan pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan atau ditunda ke Jun.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, berkata, "Hanya selepas mereka tidak dapat membuat keputusan selepas tarikh ditetapkan baru kami (AFC) masuk campur, sebelum itu kami memberi peluang dan tarikh tutup supaya mereka boleh buat perbincangan dalaman melalui proses tertentu.

"Jun tarikh (akhir) muktamad dan ditetapkan FIFA untuk habiskan pusingan kedua dan tarikh pada September digunakan untuk pusingan ketiga. Kami perlu habiskannya pada April 2022."

Menerusi Bernama, Malaysia, Thailand dan Indonesia sebelum ini menyatakan persetujuan supaya saingan itu ditangguh untuk dijalankan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pula berpendapat Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

Mengikut jadual asal, Malaysia akan menentang UAE di Dubai 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam (30 Mac), namun timbul cadangan perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun.