Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkemungkinan besar akan memperkenalkan format pertandingan baharu seperti Liga Negara-Negara Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) di Asia bermula 2021.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, menjelaskan bahawa AFC, yang kini berada dalam fasa terakhir kontrak penajaan, sedang menilai dan membincangkan kesemua format pertandingan di bawah kelolaan konfederasi itu, termasuk bola sepak lelaki dan wanita, futsal serta bola sepak pantai.

“Kami dalam proses menilai semua pertandingan di AFC kerana berada dalam fasa terakhir kontrak penajaan kami yang tamat pada 2020. Maka dari 2021 hingga 2028, kami ada agensi baru dan penaja baru.

“Kami sedang meneliti Liga Negara-Negara ini bukan kerana pihak lain dah anjurkan tapi kami berada dalam suatu fasa di mana kami harus menilai semula pertandingan-pertandingan kami. Sebelum ini, memang FIFA dan UEFA pernah memberikan cadangan mengenai Liga Negara-Negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perancangan AFC untuk memperkenalkan format baru itu dalam majlis AFC Dream Awards 2018 di AFC House,hari ini.

Windsor menjelaskan bahawa kejohanan itu tidak boleh dianggap sebagai pertandingan tambahan tetapi sebagai pertandingan untuk memenuhi kalendar FIFA kerana negara-negara anggota UEFA dan Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) masing-masing sibuk dengan Liga Negara-Negara benua masing-masing.

“Jadi tidak mustahil untuk AFC pun menuju ke arah itu. Bagaimanapun kami kena membuat penilaian teliti dan bincang dengan negara-negara anggota melalui Jawatankuasa Pertandingan.

“Saya rasa kalau pertandingan ini meningkatkan mutu pasukan dan membantu pembangunan, ia bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan tetapi di pandang serius,” katanya.

Untuk rekod, UEFA telah memperkenalkan Liga Negara-Negara dalam usaha untuk mengurangkan aksi persahabatan yang tidak bermakna dan memberi peluang kepada setiap negara untuk berentap dengan lawan yang sama kuat.

Pertandingan yang diperkenalkan tahun ini melibatkan penyertaan 55 negara Eropah dan dibahagikan dalam empat liga mini (Liga A, B,C, D) dengan kedudukan setiap pasukan dalam liga ditentukan berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, Windsor berkata isu melibatkan kekecohan dalam perlawanan persahabatan di antara skuad bawah 23 (B-23) Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam pada 10 Ogos lalu, yang terpaksa ditamatkan lebih awal akibat pergaduhan, telah selesai.

Beliau berkata AFC telah menerima dan meneliti laporan terperinci daripada kedua-dua persatuan yang terlibat dan mendapati bahawa mereka telah mengambil tindakan dalaman ke atas pemain dan pegawai yang terlibat.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah beritahu AFC yang mereka telah buat post-mortem dan juga akan mengambil kira persiapan untuk perlawanan yang akan datang. Jadi daripada AFC, kita juga telah maklumkan bahawa kes sudah pun selesai,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata badan induk bola sepak negara itu telah mengemukakan laporan mengenai insiden itu dan tindakan yang telah diambil.

“Saya percaya AFC telah melihat reaksi proaktif dan positif FAM. Kami percaya telah melakukan perkara yang betul dalam menentukan kejadian itu tidak berulang...Ini merupakan satu pengajaran dan kami memandang serius perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA