Dua tonggak Felcra FC, Adib Zainuddin dan N. Thanabalan, enggan melayan spekulasi perpindahan ke pasukan lain musim depan kerana mahu fokus kepada misi Felcra FC layak ke kancah Liga Perdana untuk musim 2018.

Dengan tamatnya saingan Sukan SEA, Adib dan Thanabalan kembali bersama Felcra dalam usaha untuk layak ke Liga Perdana musim depan.

Felcra kini telah melangkah ke suku akhir Piala FAM berdepan Terengganu City dan Adib menganggap persiapan rapi akan menjadi kunci kejayaan pasukannnya beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa depan.

"Kami membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi perlawanan suku akhir. Harapan kami adalah memastikan kami layak ke Liga Perdana," kata Adib.

Berdasarkan aksi cemerlang dalam temasya KL2017, Thanabalan dilihat sebagai taruhan utama untuk membantu Felcra mencipta jaringan ketika bertemu Terengganu City.

"Kelab telah meletakkan harapan kepada saya dan Adib, kami akan cuba memberikan yang terbaik," kata Thanabalan.

Menyedari terdapat beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmat mereka bagi saingan musim akan datang, Thanabalan dan Adib meletakkan misi Felcara ke Liga Perdana menjadi keutamaan.

"Setakat ini, masih tiada tawaran. Saya akan menunggu sehingga penghujung musim ini," kata Thanabalan.

"Saya mahu menghormati kontrak saya bersama Felcra. Kami menyedari bahawa terdapat beberapa kelab yang mahu mendapatkan khidmat kami tetapi tumpuan kami adalah memastikan pasukan layak ke Liga Perdana terlebih dahulu," kata Adib.