Tosin Adarabioyo telah menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama Manchester City sehingga 2021.

Kontrak pemain berusia 19 tahun itu bakal tamat pada penghujung bulan ini dan bersedia untuk meninggalkan kelab itu bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Tetapi Adarabioyo memilih untuk kekal di Stadium Etihad dengan menandatangani kontrak baru untuk kekal sehingga 2021.

Pertahanan tengah itu berjaya mencuri perhatian sewaktu beraksi di akademi sebelum membuat penampilan dalam saingan Piala FA berdepan Chelsea pada Februari 2016.

Sejak itu, dia telah membuat empat penampilan dalam semua kejohanan untuk City dan bakal menjadi antara pemain utama pasukan menjelang musim 2017-18.

"Saya akan bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan cuba bermain dengan lebih kerap," kata Adarabioyo.

"Kami memiliki skuad yang berkualiti dan saya menyedari bahawa saya perlu bekerja keras dan menggunakan setiap peluang yang hadir.

"Ia merupakan impian untuk beraksi bersama pasukan ini dan menjadi kapten dan berharap dapat melakukannya."