"Komitmen saya hanya RM6.8 juta!" Itu tegas pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman, apabila ada individu yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya bagi menyelesaikan krisis tunggakan gaji skuad The Red Warriors itu.

Zamsaham mendedahkan situasi itu kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, tatkala beliau berjaya menyelesaikan hampir keseluruhan tunggakan gaji pasukan itu ketika ini.

Kehadirannya dilihat sebagai satu rahmat kepada pemain Kelantan yang sudah lama merana ekoran masalah tunggakan gaji.

Beliau membeli pasukan utama itu dengan melunaskan RM3j bagi tujuan pembayaran gaji tertunggak sementara baki RM3.8j iaitu pinjaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga sudah mula dibayar bagi menyelesaikan hutang lapuk.

"Saya perlu jual 65 juta keping burger untuk memastikan pelaburan saya ini berbaloi.

"Dalam jumlah yang kami sudah bayar sebelum ini, ada (pihak) yang tiada dalam senarai (hutang) itu cuba meminta (menagih) hutang mereka.

"Tetapi dalam perjanjian penswastaan (pasukan Kelantan) itu, hanya (hutang) RM6.8 juta adalah di bawah tanggungjawab saya dan Kelantan FC yang baru.

"Mana-mana yang (menuntut hutang) selain daripada (senarai) itu, saya minta sila berbincang dengan KAFA," katanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.




Zamsaham, bagaimanapun, menegaskan situasi itu langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemilik baru pasukan Pantai Timur itu.

Malah, beliau semakin bersemangat untuk mengangkat semula pasukan itu dengan usaha terbaru yang dilakukannya adalah dengan mendapatkan pandangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung penolakan tiga mata dalam Liga Perdana musim ini.

"Kami meminta pandangan daripada Datuk Windsor (Paul -- Setiausaha Agung AFC) untuk cuba mendapatkan semula tiga mata ini.

"Saya sudah sampaikan hajat penyokong dan harap-harap AFC dapat merayu kepada FIFA.

"Beliau akan membantu dengan menjelaskan AFC akan mengenai sejarah kes seperti ini."