Paul Pogba masih mungkin kembali ke Juventus, menurut Mino Raiola, ketika masa depan pemain tengah itu di Manchester United masih belum dijelaskan sehingga hari ini.

Pogba memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Old Trafford, selepas kembali ke Manchester pada Ogos 2016 selepas menikmati kejayaan di Turin.

Pemain kebangsaan Perancis itu memenangi empat gelaran Serie A bersama Juve, termasuk Coppa Italia dua kali. Dia merupakan sebahagian daripada skuad yang mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) pada 2015, namun Bianconeri tewas 3-1 kepada Barcelona.

Bercakap di Itali semalam, Raiola, ejen pemain berusia 28 tahun itu, mengakui perpindahan semula kembali ke kelab Itali yang disertai Pogba secara percuma itu mungkin akan berlaku.

"Kontrak Paul berakhir tahun depan. Kami akan berbincang dengan Manchester United dan kami akan melihatnya," kata Raiola kepada Rai Sport.

"Turin tetap ada di hatinya. Ada kemungkinan dia akan kembali, tetapi ini juga bergantung pada Juventus."

Pogba memulakan musim baru dengan cemerlang, melakukan tujuh assist dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL). Dia telah menghasilkan 10 peluang secara keseluruhan, membantu skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer meraih tiga kemenangan dan satu seri untuk mendahului saingan dengan perbezaan jaringan.

Dia telah melepasi bilangan assist yang direkodkan bagi musim lalu, menghasilkan tiga bagi musim 2020-21.

Pogba turut menjaringkan tiga gol ketika United menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Manchester City musim lalu.

Selepas mengalami kekalahan mengejut 2-1 kepada Young Boys dalam saingan UCL, Pogba dan rakan sepasukan berharap untuk bangkit menemui rentak kemenangan ketika berkunjung ke West Ham esok.