Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, mengakui wujud perbincangan pihaknya dengan PKNS FC untuk mendapatkan bekas pemain import, Jonathan Acosta.

Semalam, Nadi Arena mendedahkan pemain tengah dari Argentina itu sudah digugurkan selepas skuad PKNS mengikat pemain import baru dari Brazil, Bruno Matos.

PKNS kini dikatakan sedang melakukan usaha sama dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membabitkan penyertaan Acosta ke Selangor.

"Memang kami mengadakan perbincangan itu tetapi keputusan akhir bergantung kepada jurulatih.

"Jurulatih akan mengenal pasti seseorang pemain itu. Jurulatih lebih memahami dan akan mengkaji sama ada Acosta sesuai dengan perancangannya.

"Perpindahan ini akan diselesaikan dalam masa dua hari ini. Ia persefahaman yang baik, " kata Abdul Rauf.

Difahamkan, Acosta akan menggantikan tempat penyerang import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn, yang menampilkan aksi kurang memberangsangkan setakat ini.