NAGOYA 2 JDT 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) kecewa lagi di tangan Nagoya Grampus dalam aksi di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.


Kelab Jepun itu merakamkan kemenangan 2-1 untuk mengesahkan slot puncak Kumpulan G.

Terjahan kasar pertahanan JDT, Adam Nor Azlin, terhadap Mateus dos Santos Castro menghadiahkan sepakan penalti seawal minit keempat sebelum pemain kelahiran Brazil itu menyudahkannya sendiri.

Selepas hampir dihukum kesilapan awal, penjaga gol, Farizal Marlias, tewas buat kali kedua beberapa minit selepas itu.

Hiroyuki Abe menggunakan kelincahannya untuk mengukuhkan kedudukan Nagoya pada minit ke-28 dengan rembatan kaki kiri yang melepasi jangkauan penjaga gawang itu.

Namun, JDT belum mahu menyerah apabila mengatur beberapa gerakan menarik untuk menguji pintu gol lawan.





Rekod kebal skuad kendalian pakar taktikal dari Itali itu, Massimo Ficcadenti, akhirnya roboh buat kali pertama di peringkat kumpulan.

Ramadhan Saifullah tidak melepaskan peluang dengan menadah kakinya ketika menyambut bola lantunan yang ditepis penjaga Nagoya dari Australia, Mitchell Langerak, yang dalam usaha mematahkan rembatan jauh La'vere Corbin-Ong pada minit ke-42.

Kedua-dua pasukan kemudian melepaskan beberapa peluang menarik untuk menambah jaring bagi Nagoya melakar kemenangan kelima.

JDT akan bertemu Ratchaburi FC pada Rabu ini, sekali gus menutup perjuangan di pentas ACL musim ini sebelum menyambung misi mempertahankan Liga Super bertemu UiTM FC, 25 Julai depan.