ACL: JDT-Kawasaki kongsi satu mata

Ammar Hakim
April 21, 2022 16:09 MYT
Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengikat Kawasaki Frontale seri tanpa jaringan dalam aksi ketiga peringkat saingan Liga Juara-Juara Asia bagi Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Selepas diketepikan dalam dua perlawanan terdahulu, penjaga gol JDT, Farizal Marlias, turun beraksi sementara Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri sekali lagi bertindak sekali penggempur utama dalam usaha menembusi gawang kelab dari Jepun itu.
Turun selaku juara Liga 1 Jepun (J1 League) musim lalu, Kawasaki Frontale yang dikendalikan Toru Oniki hampir mencipta jaringan pada minit kesembilan berpunca daripada kesilapan Shahrul Saad yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan Leandro Damiao Santos pantas untuk merembat tapi Farizal bersedia menafikan percubaan tersebut.
Pelawat terus menguji benteng pertahanan JDT dan hampir menghasilkan jaringan pada minit ke-26, namun bola rembatan deras Daiya Tono yang menerima bola umpanan darpada Marcio Barbosa sekadar melepasi palang gol.
JDT turut memberi ancaman terhadap benteng kelab dari Jepun itu pada minit ke-39 apabila tonggak pertahanan, Shahrul Saad memberanikan diri untuk merembat bola dari jarak 35 meter memaksa penjaga gol, Jung Sung-ryong menepis percubaan tersebut.
Pergerakkan JDT masih lagi gagal membuahkan hasil Arif Aiman Hanapi yang kerap melakukan larian pantas di posisi sayap kanan sering dikawal ketat oleh dua pemain Kawasaki.
Kawasaki sekali lagi hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-53 selepas sepakan sudut Tono berjaya ditanduk Kazuya Yamamura tapi sekadar sipi di sudut sebelah kanan gawang ketika Farizal sudah tertewas.
JDT nyaris dibolosi pada minit ke-73 selepas bola rembatan leret Asahi Sasaki dari jarak 25 meter hampir memerangkap Farizal tapi tiang gol kiri menjadi penyelamat daripada dibolosi manakala pemain gantian Safawi Rasid gagal melakukan penyudah tepat ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan.
Keputusan lain:
Ulsan Hyundai 3-0 Guangzhou FC