Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, berkata masih belum ada sebarang perbincangan rasmi mengenai tindak balas badan induk itu selepas wakil negara, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), menarik diri daripada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

JDT terpaksa menarik diri daripada kejohanan kelab elit Asia itu selepas tidak dibenarkan ke luar negara berikutan polisi kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Berdasarkan perkara 6.2 peraturan kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.

Bagaimanapun, Windsor dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini berkata pihaknya memerlukan masa untuk menilai situasi itu dan ia hanya akan dimuktamatkan selepas saingan di Doha, Qatar itu selesai.

"Buat masa ini, ia masih di peringkat awal dan fokus kami adalah untuk memulakan pertandingan ACL, itu yang lebih penting.

"Selepas saingan itu bermula, barulah kami akan kembali kepada kes JDT dan kami berharap dapat menyelesaikan segala laporan dan urusan surat-menyurat ini dalam masa terdekat.

"Diharapkan dalam tiga atau empat minggu ini, kami dapat menyelesaikan kes penarikan diri JDT," katanya.

Selain JDT, satu lagi pasukan yang menarik diri daripada ACL musim ini ialah kelab Emirah Arab Bersatu (UAE), Al-Wahda.