Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, yakin pasukan itu mampu keluar dari zon penyingkiran Liga Super 2019 berdasarkan persembahan ketika seri 2-2 dengan PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

"Pemain menunjukkan karakter mantap dengan persembahan bertenaga, cuma tiada rezeki meraih tiga mata.

"Sepakan penalti yang diperoleh lawan pada hujung perlawanan memusnahkan peluang kami.

"Sudah banyak kali kami dinafikan kemenangan menerusi sepakan penalti," katanya.

Dalam perlawanan itu, PKNP menjaringkan gol melalui Hafiz Ramdan dan Giancarlo Lopes Rodriguez dalam separuh kedua tetapi jaringan penalti Kpah Sherman tujuh minit sebelum tamat perlawanan menyelamatkan pelawat.

"Dua mata daripada tiga perlawanan tetap dianggap pencapaian baik, tambahan pula kami menentang pasukan handalan.

"Saya nampak persaingan mengelak penyingkiran adalah antara empat pasukan kelompok bawahan, " katanya lagi.

Menurut jurulatih itu, kedudukan pasukan-pasukan seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya City belum selamat.

Justeru, Abu Bakar berharap barisan pemain kelab yang ditubuhkan pada 2015 itu akan berusaha mengutip sebanyak mata yang boleh dalam baki empat perlawanan.

Beliau yakin anak buahnya berupaya mengutip mata ketika bertemu Kedah, Melaka United, Felda United dan PJ City.