Pengendali pasukan PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, yakin kemampuan gandingan Yashir Pinto-Coulibaly Yero boleh ditingkatkan lagi selepas mengharungi beberapa perlawanan dalam kempen Liga Malaysia bermula Sabtu ini.

Ini kerana beliau dapat melihat ciri-ciri keserasian dan persefahaman gandingan itu ketika beraksi menentang PKNS FC dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

"Mereka baru bermain bersama tidak sampai 10 hari tetapi menjanjikan sesuatu.

"Beri mereka sedikit masa lagi dan saya yakin mereka mampu 'meletup', " katanya.

Abu Bakar berkata Pinto masih memiliki sentuhan lamanya tetapi Yero bergelut mencari rentak.

Bagaimanapun, penyerang dari Senegal itu memiliki kemahiran individu tinggi untuk membantu kempen pasukan itu.

Justeru, jurulatih itu akan menggunakan baki empat hari yang ada sebelum sepak mula Liga Super untuk menggilap kemampuan gandingan itu.

"Perlawanan pembukaan kami ialah menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dan adalah penting kami membuat permulaan baik.

"Namun, kami akan berhadapan salah sebuah pasukan kuat dalam Liga Super ini.

"Justeru, pemain PKNP perlu berhati-hati," ujarnya.