Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mengakui percaturan menggugurkan Franklin Anzite dalam kempen Piala Malaysia memberi impak luar biasa kepada pasukannya sehingga mudah menjinakkan juara 33 kali, Selangor, 3-0 di laman lawan.

Abu Bakar mengambil tindakan drastik apabila mengetepikan Anzite dalam saingan Piala Malaysia selepas pemain itu hanya mampu menjaringkan satu gol dalam 21 perlawanan liga musim ini.

Sebaliknya, jurulatih itu memberi kepercayaan kepada penyerang tempatan, Fandi Ahmad, untuk mengetuai jentera serangan, yang menyaksikan percaturan itu membuahkan hasil menerusi kemenangan menakjubkan ke atas Selangor.

Lebih menarik, ia merupakan kali pertama PKNP merakam kemenangan besar sejak menumpaskan Kuantan FA 3-0 pada Mac lalu.

"Saya lihat peluang yang cukup banyak telah diberikan dan akhirnya membuat satu keputusan yang adil untuk semua pemain saya.

"Saya bertanggungjawab dengan apa yang saya lakukan ketika ini dan ia tampak memuaskan. Saya rasa perancangan ini akan diteruskan," kata Abu Bakar.

Dalam pertemuan tersebut, skuad PKNP meraih gol pendahuluan menerusi Hafiz Ramdan pada minit ke-22 sebelum Fandi menggandakan kelebihan buat pelawat pada minit ke-31.

Pemain import dari Latvia, Ritus Kraujklis, melengkapkan kemenangan PKNP menerusi jaringan ketiga pada minit ke-61.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak menggusarkan jurulatih The Red Giants, Nazliazmi Nasir, yang kekal optimis terhadap peluang mereka untuk melepasi cabaran peringkat kumpulan.

"Bahagian tengah jelas agak longgar dalam aksi menentang PKNP dan tidak bertindak seperti biasa. Tindakan saya menyenaraikan Badrul Amin yang merupakan pemain daripada skuad Piala Presiden juga tidak menjadi.

"Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepadanya memandangkan ia adalah aksi pertamanya dalam saingan Piala Malaysia," ujar Nazliazmi.