Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menganggap keputusan seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan di Paroi malam tadi sebagai tonik terbaik untuk pasukannya menghadapi aksi suku akhir Piala Malaysia 2017.

PKNP bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman untuk melengkapkan jadual perlawanan Kumpulan A susulan telah mengesahkan slot ke suku akhir lebih awal.

Meskipun keputusan pertemuan itu tidak menjejaskan kedudukan selaku juara kumpulan, PKNP tetap mempamerkan kesungguhan tinggi sepanjang 90 minit permainan.

Hasilnya, mereka berjaya meraih keputusan positif dengan penjaga gol muda, Amin Faisal Saidi, mencuri tumpuan menerusi ketangkasannya menyelamatkan deretan percubaan pasukan tuan rumah.

"Memang saya tekankan kepada pemain, kami datang ke sini dengan misi membawa pulang satu mata dan muncul juara kumpulan. Kami mahu muncul juara kumpulan bukan kerana nasib, sebaliknya kerana kami memiliki kesungguhan untuk melakukannya.

"Kami berharap momentum ini dapat diteruskan dalam aksi berdepan Felda United nanti," jelas Abu Bakar.

Sementara itu, pengendali skuad Jang, Asri Ninggal, mencabar pemainnya memenangi semua baki perlawanan dalam Liga Perdana untuk menebus kegagalan meneruskan kemaraan dalam kempen Piala Malaysia.

"Bagi saya, tiga perlawanan ini seperti misi hidup dan mati kerana jika kami mahu melayakan diri ke Liga Super musim depan, kami perlu menang ketiga-tiga perlawanan ini," tambahnya.

"Walaupun misi ini sukar namun jika pemain berkerja keras dalam sesi latihan tidak mustahil kami mampu melakukannya," ujar Asri.